Masya-Allah! Saya tergamam. Membaca mesej yang dihantar oleh abang saya itu menyebabkan saya yang baru bangun dari tidur , terus membeliakkan mata yang masih lesu.
Pak cik kami yang kami gelarkan sebagai Pok Ri sedang terlantar di hospital, bertarung antara hidup atau mati.
Terus, saya menelefon abang saya bertanyakan perihal insiden itu. Nasibnya baik. Walaupun tempurung kepalanya retak sedikit di bahagian tepi (dan dikatakan serpihan tulang tersebut masuk sedikit ke dalam otak), beliau terselamat. Namun, keadaannya yang masih tidak sedarkan diri membimbangkan pihak hospital.
3 Insiden
Dalam tempoh 2 bulan ini, 3 accident motor yang membabitkan orang-orang yang berkait dengan saya, telah berlaku. 2 kes melibatkan ahli keluarga saya (sepupu & pak cik) manakala 1 kes lagi melibatkan 2 orang budak batch saya. Terasa gerun sekali tatkala memikirkannya.
Dan sehingga saya pulang ke Kuala Lumpur semula, dia masih koma.Semoga Allah menyembuhkanmu dan meringankan siksaan-Nya keatasmu, doa saya di dalam hati ini.
Petaka
Lantas, perlu sahaja saya peringatkan diri ini.Jika petunjuk sudah diberi, berubahlah kamu sebaik-baiknya.Takut-takut tatkala dilanda ujian-Nya, kamu tidak berkesempatan lagi.
Mungkin kamu akan hilang anggota badan.Mungkin kamu akan dicabut daripada dirimu kehebatan-kehebatan yang pernah kaumiliki satu masa dulu.Dan mungkin saja kau akan tidak ada upaya untuk bangkit.
Ya, sememangnya semua itu ujian Allah dan tidaklah Allah mendatangkan ujian kecuali ada hikmah di sebaliknya ; dan sesuai dengan kemampuan kita.Lalu, usah dihukum begitu saja peristiwa malapetaka dan musibah yang berlaku di sekeliling kita kerana ingat, Tuhan sedang berbicara kepada kita dalam bentuk ujian.
Dengan itu, janganlah kita membalas bicara Tuhan dengan sikap yang mendengkelkan.
Nasihat
Bila kita melihat kemalangan, kematian, kemusnahan, musibah dan sebagainya, ingat, itu satu bentuk petanda dari-Nya ; bahawa kita ini HAMBA! Yang bisa saja ditarik nikmat hidup, kemewahan dunia dan kehebatan diri.
Akhirnya, ingin saya seru beralihlah kembali kita pada-Nya setalah lama tersasar dari landasan Sirat-Al-Mustaqim..Amin.